SEREMBAN: Pelaksanaan Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) memberi nafas baharu kepada Shahril Salamon yang hampir berputus asa dalam perniagaan, namun dapat meneruskan perniagaan pasar segar miliknya di Senawang.

Peniaga berusia 36 tahun itu berkata PJMKM bukan sahaja membantu masyarakat mendapatkan barangan berkualiti dengan harga berpatutan tetapi membantu peniaga kecil dan sederhana (PKS) sepertinya untuk meneruskan perniagaan dalam cabaran ekonomi yang tidak menentu ketika ini.

“PJMKM ini sangat membantu saya dalam meneruskan perniagaan, sebenarnya saya sendiri terfikir nak tutup kedai, apabila dapat peluang ini saya bersungguh-sungguh dan perniagaan semakin baik.

“Sebelum ini saya berniaga vending machine di Lebuhraya Plus hampir 12 tahun, tetapi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perniagaan saya itu merudum, saya mempelbagaikan pendapatan yang ada dengan membuka pasar segar, Alhamdullilah perniagaan ini semakin baik,” katanya kepada Bernama.

Tinjauan Bernama mendapati pelanggan mula mengunjungi di Pasar Segar Shahril itu seawal 7.45 pagi dan orang ramai mula beratur sehingga hujung bangunan pada 9 pagi untuk mendapatkan barangan PJMKM yang bermula semalam dan hari ini.

Pasar Segar Shahril merupakan antara kedai runcit terpilih di Negeri Sembilan bagi melaksanakan PJMKM selama dua hari dengan menawarkan jualan barangan lebih murah khususnya kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

Shahril berkata kali ini lebih 2,000 ekor ayam diperuntukkan untuk jualan selain sayur-sayuran dan barangan keperluan asas lain yang dijual kira-kira 40 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.

“Peruntukan ayam lebih 2,000 ekor dengan sasaran untuk membantu kira-kira 500 keluarga, kalau ikutkan harga pasaran ayam RM8-RM9 sekilogram, bagi program kali ini dua ekor ayam dijual pada harga RM15, ikan pula dijual RM8 sekilo berbanding RM12 harga pasaran. Ikan segar ini diambil dari Pulau Ketam, Klang selain banyak lagi barangan lain dijual,” katanya.

Dalam pada itu beras 10kg yang dijual dengan harga RM20 berbanding RM27 di pasaran habis terjual dalam tempoh hanya dua jam.

Pesara swasta, Mohd Khairuddin Hanapah, 52, berkata program jualan murah ini sangat membantu rakyat terutamanya untuk mendapatkan barangan keperluan harian.

“Saya terbaca di Facebook mengenai jualan murah ini, program seperti ini perlu diperbanyakkan lagi bagi membantu golongan B40 khususnya, harga sangat menjimatkan iaitu lebih murah kira-kira 30 peratus berbanding harga pasaran, barangan asas seperti gula, tepung, beras itu yang penting,” katanya.

Bagi petugas pembersihan di sebuah sekolah di Senawang, Norazian Mohd, 43, jualan murah seperti ini perlu dilakukan lebih kerap dan dilaksanakan pada setiap hujung bulan.

Selain rakyat tempatan, jualan murah itu turut dimanfaatkan oleh warga Bangladesh, Mohd Amran, 35, untuk membeli barangan keperluan asas.

“Bos saya yang bagitahu ada jualan murah di sini, saya beli beras dan telur untuk kegunaan saya dan empat rakan serumah di sini,” katanya yang bekerja sebagai pekerja landskap.

Dalam pada itu Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berkata sambutan PJMKM ini mendapat sambutan menggalakan daripada penduduk setempat dan perlu ditambah baik dari semasa ke semasa termasuk menambahkan stok barangan asas seperti beras, telur dan minyak masak.

Sementara itu, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) memperuntukkan sebanyak RM4.5 juta bagi melaksanakan PJMKM di kesemua 36 Dewan Undangan Negeri bermula Ogos sehingga Disember depan.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image