KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob(gambar) berharap belia lebih celik dan cakna tentang sistem demokrasi berparlimen serta peranan sebagai pengundi muda dengan pelaksanaan Undi18, seterusnya meningkatkan jati diri menjadi warganegara bertanggungjawab menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Beliau berkata golongan belia memainkan peranan lebih besar dalam pembentukan negara bangsa terutamanya dalam memilih pemimpin negara selaras dengan pelaksanaan Pindaan Undang-undang Perlembagaan Persekutuan.

“Jumlah pengundi belia berusia antara 21 ke 40 tahun pada 2020 ialah 6.2 juta orang iaitu 40.8 peratus daripada keseluruhan 15.3 juta pengundi berdaftar,” katanya dalam perutusan sempena Hari Belia Negara 2022 bertemakan ‘Ini Masa Kita’ yang disiarkan televisyen tempatan hari ini.

“Pada 12 Mac 2022, negara mencipta sejarah baharu apabila golongan belia julung kalinya diberi hak dan mandat untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri Johor, yang mencatat peningkatan kira-kira 28 peratus pengundi dengan penambahan hampir 750,000 pengundi berusia 18 tahun ke atas daripada keseluruhan 2.6 juta pengundi berdaftar susulan pendaftaran automatik Undi18,” katanya.

Perdana Menteri berkata penglibatan anak muda yang dilihat semakin meningkat dalam arena politik negara merupakan petanda positif serta perlu dikembangkan lebih meluas.

Menurut Perdana Menteri pemimpin belia perlu mengambil tahu dan sedar penguatkuasaan pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668) yang melibatkan penurunan had umur belia daripada 40 kepada 30 tahun.

Katanya pelaksanaan pindaan akta itu dapat meramaikan pemimpin belia berumur di bawah 30 tahun, seterusnya memberi ruang kepada golongan itu untuk mengasah bakat kepimpinan dan mencari pengalaman sebanyak mungkin menerusi ruang yang ditinggalkan.

Sementara itu Ismail Sabri berkata penglibatan dan sumbangan generasi muda sangat diperlukan dalam memperkukuhkan semangat Keluarga Malaysia, dan untuk itu kerajaan sentiasa mengiktiraf sumbangan, pencapaian, usaha, daya bangkit dan suara seluruh warga belia.

“Malah kerajaan juga sentiasa peka dan prihatin dengan isu yang melanda golongan belia khususnya dalam menurunkan kadar pengangguran. Berdasarkan dapatan Indeks Belia Malaysia tahun 2021 bagi Domain Ekonomi, skor bagi kebolehpekerjaan ialah 42.01,” katanya.

Perdana Menteri berkata terdapat lebih 20 inisiatif yang boleh dimanfaatkan oleh golongan belia secara langsung atau tidak langsung melalui Bajet 2022, antaranya penyediaan lebih peluang pekerjaan sejajar perkembangan sektor perniagaan sekali gus menempatkan ekonomi pada landasan pemulihan yang tepat. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image