KUALA LUMPUR: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) berupaya membantu kerajaan menangani masalah kenaikan harga ayam dan bekalan makanan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata langkah proaktif yang akan diambil NAFAS dan Angkasa dengan terlibat dalam ekosistem industri ayam juga mampu menstabilkan bekalan dan harga ayam di pasaran bagi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

“NAFAS dan Angkasa akan terlibat dalam ekosistem industri ayam bermula daripada anak ayam, makanan ternakan, vaksin, reban, pusat pemprosesan, bilik sejuk beku, logistik, pusat pengedaran dan pemasaran sehingga bekalan sampai kepada pengguna.

“NAFAS menyasarkan untuk menguasai 20 peratus pasaran dengan pengeluaran sebanyak 144 juta ekor setahun, manakala Angkasa sebanyak 30 juta ekor setahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas perdana menteri mengadakan pertemuan dengan Ahli Jemaah Pengarah NAFAS dan Anggota Lembaga Angkasa bagi membincangkan langkah-langkah menjamin sekuriti makanan negara, pagi tadi.

Selain itu, Ismail Sabri berkata NAFAS dan Angkasa akan lebih proaktif dalam industri penanaman jagung bijirin bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap import bahan mentah untuk makanan ayam.

Beliau berkata bagi tujuan itu NAFAS telah mengenal pasti kawasan seluas 12,140 hektar di Kelantan dan Terengganu yang sebelum ini ditanam dengan tanaman tembakau untuk tanaman jagung bijirin.

Angkasa bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan telah mengenal pasti kawasan seluas 4,000 hektar tanah di seluruh negara dengan setiap hektar mampu mengeluarkan lima tan jagung bijirin serta menampung 20 peratus daripada keperluan import jagung bijirin dalam tempoh lima tahun ini.

“Usaha NAFAS dan Angkasa yang berskala besar ini diyakini dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap jagung bijirin bagi kegunaan makanan ayam. Ini kerana NAFAS mempunyai seramai satu juta ahli, manakala tujuh juta ahli bernaung di bawah Angkasa melalui 14,835 koperasi.

Malah Angkasa juga diminta menerajui sektor koperasi dalam menangani kenaikan kos sara hidup.

“Kerajaan menyambut baik inisiatif NAFAS dan Angkasa untuk terlibat secara signifikan dalam industri ternakan ayam. Ia selaras dengan saranan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang mahu kerjasama awam dan swasta diperkukuh bagi meningkatkan hasil pertanian khususnya industri ternakan ayam,” katanya.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image