SUBANG: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang baru menamatkan lawatan kerja di Amerika Syarikat (AS) tiba di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini pagi tadi.

Kira-kira 400 orang berada di perkarangan pangkalan udara itu untuk menyambut ketibaannya dengan membawa pelbagai kain rentang.

Antara yang kelihatan tertera pada kain rentang adalah “DSIS lantang perjuangkan rakyat Palestin di depan pemimpin dunia”, “Salute keberanian YAB PM tak gentar perjuangkan isu keamanan depan pemimpin dunia” dan “Thank you PM DSIS less talk, more action” diiringi lagu patriotik ‘Inilah Barisan Kita’.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Ismail Sabri turut memberhentikan kenderaannya serta meluangkan masa kira-kira setengah jam menyantuni mereka yang hadir.

Dalam lawatan kerja di AS, Perdana Menteri mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS di samping mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika Joe Biden serta pemimpin negara-negara ASEAN.

Dalam sidang medianya di penghujung lawatan, beliau menyifatkan lawatan itu sebagai satu kejayaan dalam mengukuhkan lagi hubungan Malaysia-AS serta ASEAN-AS, dan pada pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS pula, perdana menteri menyentuh pelbagai isu termasuk krisis Rusia-Ukraine, Laut China Selatan, Palestin dan Myanmar.

Seorang pereka kandungan media, Muhammad Adib Aiman Badrul Shahar, 33, berkata beliau tiba di perkarangan pangkalan udara itu pada pukul 8 pagi bagi menyambut kepulangan Perdana Menteri.

“Kepulangan Perdana Menteri dari AS membawa berita baik, mengundang kehadiran pelabur luar, di samping membawa nama baik Malaysia, dan tidak salah untuk kita menyambutnya,” katanya.

Beliau berkata seperti mana orang ramai menyambut kepulangan atlet yang membawa kejayaan kepada negara, perkara seumpama itu juga patut dilakukan kepada Perdana Menteri yang lantang bersuara di peringkat antarabangsa.

Siswazah Universiti Malaya, Wan Nuremmelly Mekar, 21, yang tiba di pangkalan itu sekitar 7.50 pagi pula berkata: “Sebagai rakyat Malaysia, saya rasa bangga kerana Perdana Menteri berpeluang ke AS untuk bertemu dengan pemimpin dunia,” katanya.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image