MUAR: Perikatan Nasional (PN) kini dalam peringkat akhir untuk menentukan kerusi yang akan dipertandingkan pada pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin(gambar) berkata pengagihan kerusi itu dijangka siap hujung minggu ini, setelah pihaknya mendapati ada beberapa kerusi yang mempunyai pertindihan antara parti komponen dalam PN.

“Kita hampir selesai tadi, tapi ada sedikit pertindihan kepentingan (kerusi) antara parti-parti dan kita dah beritahu pasukan perundingan akan selesaikannya.

“Ia (kerusi) belum muktamad hingga disahkan oleh pemimpin PN masing-masing di peringkat pusat. Saya rasa dalam jangka minggu ini, perkara ini akan selesai,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat PN Johor di Pejabat Bersatu Bahagian Pagoh, di sini hari ini.

Ditanya mengenai kerjasama PN dan Pakatan Harapan (PH), Muhyiddin berkata: “Dalam politik apa-apa sahaja boleh terjadi, setakat hari ini tidak ada apa lagi...tapi kalau ada, ia datang daripada pimpinan parti dan bukan saya sahaja yang boleh buat keputusan.”-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image