KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan Unit Dron, Pasukan Gerakan Udara (PGU) untuk memantau pergerakan lalu lintas dalam Op Selamat 19, sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mat Kasim Karim berkata pasukan itu ditempatkan di sektor lebuh raya utara, timur dan selatan bagi membantu polis memantau keadaan lalu lintas di lokasi-lokasi titik panas yang dikenal pasti.

“Penempatan pasukan dron akan memudahkan segala input disalurkan dengan pantas kepada petugas JSPT di lapangan agar segala tindakan diambil dengan segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, mulai hari ini dijangkakan sebanyak 170,000 kenderaan akan berada di Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak, 60,000 di Lebuhraya Pantai Timur 1, manakala dua juta kenderaan di Lebuhraya Utara Selatan.

“PDRM menyarankan pengguna jalan raya yang penat dan perlu berehat, berhenti di kawasan rehat dan rawat hentian sebelah dan plaza tol di lebuh raya,” katanya.

Mat Kasim turut mengingatkan semua pengguna jalan raya untuk mematuhi undang-undang serta peraturan lalu lintas bagi memastikan tiada sebarang tragedi berlaku di musim perayaan ini.

“PDRM sentiasa komited dalam memastikan kelancaran lalu lintas untuk keselesaan dan keselamatan semua pengguna jalan raya,” katanya.

Sementara itu, tinjauan udara pada petang ini mendapati kesesakan teruk berlaku dari arah Plaza Tol Gombak ke arah selatan.

Timbalan Pengarah JSPT Bukit Aman DCP Mohd Nasri Omar berkata kesesakan itu berlaku kerana pengguna jalan raya mengambil kesempatan cuti panjang sempena Tahun Baharu Cina untuk ke destinasi masing-masing.

“Selain itu, di Plaza Tol Jalan Duta kami mendapati tidak berlaku kesesakan tetapi di Slim River, Perak mula berlaku kesesakan lalu lintas.

“Oleh itu, petugas JSPT akan berada di setiap lebuh raya bagi memastikan pengguna jalan raya sampai ke destinasi masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan udara Op Selamat 19 sempena Tahun Baharu Cina hari ini.

Mengulas mengenai Op Selamat 19 yang memasuki hari keempat, beliau berkata setakat ini 41 kemalangan maut telah direkodkan.

Op Selamat yang bertemakan ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi’ bermula 18 Jan hingga 27 Jan ini. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image