MELAKA: Polis Melaka mengenal pasti 12 kawasan hitam (blackspot) dan panas (hotspot) yang sering menjadi lokasi kemalangan maut setiap kali tiba musim perayaan.

Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata dengan jangkaan lebih 120,000 kenderaan akan memasuki negeri ini, sejumlah 220 pegawai dan anggota akan ditugaskan sepanjang Op Selamat 17 yang bermula esok hingga 6 Feb sempena perayaan Tahun Baru Cina.

“Sebab itu antara sasaran kita adalah sifar kemalangan maut, memandangkan tahun lepas hanya satu kes dan tahun 2020 mencatat 15 kes kemalangan maut,“ katanya pada sidang media sempena Op Selamat 17 di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Melaka (IPK) di sini hari ini.

Katanya 12 kawasan hitam dan panas itu adalah lima di Melaka Tengah, empat di Alor Gajah dan tiga di Jasin dengan antara kawasan dikenal pasti adalah Lebuh AMJ, Jalan Umbai-Sungai Udang, Jalan Rembia-Kendong, Jalan Sungai Udang-Lubuk Cina, Jalan Melaka-Muar dan Jalan Tehel-Bemban-Chabau.

Tambahnya penglibatan agensi sepanjang Op Selamat seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam dan pihak berkuasa tempatan dilihat mampu mengurangkan kadar kemalangan maut sepanjang perayaan Tahun Baru Cina ini.

Sementara itu Abdul Majid menyeru orang ramai agar memaklumkan pergerakan mereka menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol bagi memastikan keselamatan harta benda mereka.

“Bagi mereka yang pulang ke kampung, kami galakkan agar memaklumkan kepada pihak polis menerusi aplikasi itu di samping Telegram Polis Melaka dan FB Polis Melaka bagi tindakan pencegahan jenayah di kediaman atau premis mereka,“ katanya.

Katanya tahun lepas 112 borang maklum balas balik kampung diterima dan tiada sebarang kes pecah rumah berlaku ke atas semua premis dan rumah yang didaftarkan.-Bernama