GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang hari ini menjalankan pemeriksaan ke atas 21 bengkel kenderaan khususnya motosikal yang disyaki terlibat dalam pengubahsuaian bagi kegiatan lumba haram atau samseng jalanan.

Operasi bersepadu bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ); Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP); Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP); dan Majlis Bandaraya Seberang Perai dijalankan dalam usaha membanteras pengubahsuaian motosikal bagi kegiatan mat rempit, lumba haram dan samseng jalanan.

Operasi berkenaan dijalankan serentak di seluruh Pulau Pinang bermula 3 petang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata berdasarkan risikan dan intipan dijalankan, pihaknya mengenal pasti sembilan bengkel di daerah itu dipercayai terlibat dalam pengubahsuaian bagi kegiatan lumba haram dan samseng jalanan.

“Bengkel-bengkel tersebut berjaya dikenal pasti menjalankan pengubahsuaian motosikal itu hasil siasatan yang dijalankan pihak polis ekoran kemalangan maut membabitkan sekumpulan lelaki berlaku di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu pada 17 Julai lepas,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi itu di kawasan Tanjung Bunga, di sini hari ini.

Menurut Soffian, sebanyak dua bengkel motosikal diperiksa termasuk satu daripadanya beroperasi di kawasan perumahan dan tersorok di kawasan tersebut serta pemeriksaan mendapati kedua-duanya menjalankan pengubahsuaian motosikal untuk lumba haram itu tiada lesen perniagaan.

Dalam pemeriksaan di bengkel pertama, pihaknya berjaya mengesan beberapa buah motosikal yang telah diubahsuai disyaki digunakan untuk tujuan perlumbaan haram oleh geng mat rempit dan pihak KPNDHEP turut menjalankan pemeriksaan bagi memastikan ketulenan alat ganti serta aksesori yang dijual di situ.

“Pemeriksaan kami juga mendapati bengkel itu turut dilengkapi dengan makmal dyno yang bertujuan untuk menjalankan ujian dan meningkatkan keupayaan serta kelajuan sesebuah motosikal. Kita tidak menolak kemungkinan ia digunakan untuk lumba haram,“ katanya.

Beliau berkata dalam pemeriksaan di bengkel kedua yang beroperasi di sebuah rumah itu mendapati terdapat puluhan motosikal serta rangka motosikal di situ dan pemeriksaan dijalankan dari segi rekod sama ada pernah dilaporkan hilang, dicuri atau pelbagai lagi.

“Pemilik bengkel itu memberi alasan motosikal dan rangka motosikal tersebut ditinggalkan oleh pemilik-pemiliknya namun tidak dituntut semula sehingga sekarang dan kami akan jalankan siasatan lanjut berhubung perkara tersebut. Tiga buah motosikal turut disita dari bengkel itu kerana telah menjalankan pengubahsuaian tanpa kebenaran dan ia dipercayai digunakan untuk berlumba haram,“ katanya

Menurutnya, tiga notis dikeluarkan oleh JPJ ke atas dua bengkel terbabit kerana menjalankan pengubahsuaian tanpa lesen sah.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image