KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan seorang lelaki warga tempatan mati mengejut dalam tahanan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, Perak pagi semalam.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Azri Ahmad berkata lelaki yang merupakan Orang Kena Tuduh (OKT) berusia 63 tahun itu adalah tahanan tumpang dari Penjara Taiping dan ditempatkan di IPD Taiping.

“OKT telah ditempatkan di lokap IPD Taiping selepas sebutan pertama kes pada 11 Jan lepas sementara menanti sebutan seterusnya pada esok,“ katanya dalam kenyataan malam semalam.

Azri berkata OKT itu dituduh pada 18 April tahun lepas di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan (kerana mencuri sebuah kenderaan motor) dan Seksyen 324 (kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata).

Mengulas lanjut, beliau berkata Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan JIPS akan menjalankan siasatan berhubung kes itu.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image