SIBU: Polis merampas 10 unit mesin perlombongan mata wang kripto dianggarkan bernilai RM13,500 dalam serbuan ke atas sebuah rumah yang dipercayai menjadi tempat bagi kegiatan tersebut di Lorong Setia 3 di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata serbuan pada kira-kira 12.30 tengah hari itu dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu bersama Syarikat Sesco Berhad, anak syarikat Sarawak Energy Berhad yang merupakan pembekal tenaga elektrik di negeri ini.

“Nilai kerugian akibat penyambungan elektrik secara haram dalam kegiatan itu dianggarkan RM201,129.10 dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 427 kanun yang sama kerana melakukan khianat,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Sehari sebelum itu, pasukan yang sama juga telah menyerbu sebuah premis dua tingkat di Jalan Serai di sini dipercayai menjadi lokasi perlombongan mata wang kripto yang menggunakan sumber elektrik haram hingga mengakibatkan kerugian RM496,000 kepada syarikat utiliti itu.

Menurut Zulkipli 34 unit mesin perlombongan mata wang kripto yang dianggarkan bernilai RM38,000 dirampas.

Walau bagaimanapun tiada tangkapan dibuat dalam kedua-dua serbuan itu.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image