KUALA LUMPUR: Polis menahan 102 wanita warga asing dipercayai bekerja sebagai sebagai pelayan pelanggan (GRO), serta 61 individu warga tempatan yang terdiri daripada pemilik premis, pengurus, penjaga kaunter dan pekerja di pusat-pusat hiburan yang bersubahat dengan mereka, dalam Op Noda Khas di seluruh negara, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata 1,133 orang pekerja dan pelanggan diperiksa dalam operasi itu dan semakan mendapati dua daripada pelanggan itu merupakan individu yang dikehendaki polis bagi kes jenayah dan dadah.

Beliau berkata polis turut merampas 44 keping lesen perniagaan, 27 pembesar suara, 22 mikrofon, 16 amplifier, 85 botol minuman keras pelbagai jenama, dan wang tunai berjumlah RM12,885 dalam operasi itu.

“Kesemua yang ditahan berumur 18 hingga 55 tahun, dan hasil rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah berhampiran untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.-Bernama