BALIK PULAU: Polis menahan tiga mat rempit yang menunggang motosikal secara berbahaya dan dipercayai berlumba haram di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu berhampiran kawasan perindustrian di Bayan Lepas, dekat sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata sepasukan polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya menjalankan Op Samseng Jalanan bermula 1 pagi hingga 7 pagi tadi sebelum menahan tiga lelaki berumur 19, 21 dan 36 tahun itu.

“Hasil pemerhatian ketika operasi dijalankan, pihak polis mendapati sekumpulan penunggang motosikal menunggang secara menduga kelajuan serta beraksi membongkokkan badan (aksi Superman).

“Perbuatan itu jelas membahayakan penunggang motosikal itu sendiri serta pengguna jalan raya yang lain dan kami berjaya menahan tiga lelaki terbabit dan menyita dua motosikal mereka,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamarul Rizal berkata polis turut mengeluarkan 11 saman terhadap tiga lelaki itu dan mereka yang bekerja kilang serta juruteknik lif itu kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Beliau berkata dalam operasi sama, pihaknya turut menyita dua motosikal dan lapan saman dikeluarkan ke atas pesalah trafik lain kerana pelbagai kesalahan.

“Pihak polis akan sentiasa menjalankan operasi dari semasa ke semasa terutamanya pada hujung minggu bagi mengekang kegiatan samseng jalanan itu dan tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati bersalah melakukan kegiatan yang tidak berfaedah,“ katanya.-Bernama