KANGAR: Polis menahan enam lelaki dipercayai bertindak sebagai transporter dadah dan merampas 267.32 kilogram (kg) dadah jenis ganja mampat dianggarkan bernilai RM668,300 dalam tiga serbuan di sekitar negeri ini pada Isnin (24 Jan).

Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata serbuan itu dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN Perlis antara 8.30 hingga 10 pagi.

“Pada tangkapan pertama kira-kira 8.30 pagi, polis mengesan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger di Jalan Tuanku Syed Putra, Kangar menuju Alor Setar, Kedah yang disyaki terlibat dalam pengedaran dadah.

“Menyedari kehadiran polis, kenderaan tersebut memecut cuba melepaskan diri sebelum terbabas dan merempuh sebuah rumah di Kampung Lat Simpang Empat, Arau. Dua suspek warga tempatan berumur 29 dan 33 tahun ditahan polis merampas ganja seberat 266.29kg yang dianggarkan bernilai RM665,725,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata dalam tangkapan kedua, polis menahan tiga suspek berumur lingkungan 28 hingga 45 tahun dan merampas 1.03kg ganja dianggarkan bernilai RM2,575 kira-kira satu jam kemudian iaitu pada 9.30 pagi di sebuah rumah di Seriab, di sini.

Surina berkata seorang lagi suspek berusia 28 tahun ditahan di Kampung Utan Ibus, Kuala Perlis dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah namun tiada sebarang rampasan dadah dibuat.

Kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 31 Jan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

Hasil daripada ujian urin mendapati empat suspek positif dadah jenis methamphetamine dan dua lagi positif ganja.

Polis turut menyita dua motosikal dianggar bernilai RM8,000 manakala kenderaan pacuan empat roda pada tangkapan pertama adalah kenderaan sewa dari Kuala Lumpur.

Beliau berkata modus operandi yang diguna oleh sindiket adalah dadah dibawa masuk dari Thailand dan ditransit di Perlis sebelum diedarkan ke ibu negara mengunakan khidmat transporter terdiri daripada penganggur, petani, buruh dan mekanik kenderaan dengan bayaran RM6,000 hingga RM7,000.

Katanya kegiatan dipercayai didalangi sindiket dari negara jiran itu mula aktif pada November 2021 dan membawa masuk dadah melalui jalan laut menggunakan bot milik persedirian.

“Kami akan tingkatkan kawalan di pintu masuk dan sempadan laut mahupun darat bagi mengesan saki baki ahli sindiket dan mengheret dalang utama ke muka pengadilan,” katanya.-Bernama