KUANTAN: Polis mengesahkan menerima dua laporan berhubung dakwaan kes buli melibatkan seorang pelajar perempuan tingkatan dua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan, yang tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata laporan pertama diterima daripada pihak sekolah pada 8 Ogos lepas, manakala ibu kepada pelajar yang mendakwa dibuli itu turut membuat laporan polis semalam, dan sehingga kini lima orang telah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kes itu.

“...siasatan dijalankan daripada semua aspek dan kita jangka lebih ramai akan dipanggil bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, seorang wanita menerusi laman sosial Facebook mendakwa anaknya dibuli apabila pakaian seragamnya diconteng dan rambutnya digunting semasa tidur.

Sementara itu di SERDANG, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata pihaknya melihat perbuatan buli sebagai satu isu yang serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pelajar MRSM yang didapati terlibat.

Beliau yang ditemui selepas melawat Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) hari ini berkata mengikut prosedur biasa sekiranya ada pelajar MRSM yang terlibat dengan perbuatan buli, pelajar berkenaan akan dibuang sekolah.

Merujuk kepada rakaman video yang tular itu katanya beliau memberi kepercayaan penuh kepada barisan pendidik di institusi itu untuk memastikan gejala buli dibendung.

“Insiden ini berlaku di MRSM Kepala Batas, Pulau Pinang, apabila ada pelajar yang buli pelajar lain, dan apabila lembaga disiplin (sekolah) itu duduk, dapat, dan sah memang itu pembulinya, pembuli (akan) dibuang (sekolah),“ katanya.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image