KUALA NERUS: Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Pantai Tok Jembal di sini berupaya memanfaatkan serta memberi perlindungan jangka panjang kepada penduduk khususnya komuniti nelayan di kawasan berkenaan.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata projek melibatkan peruntukan RM73.5 juta itu telah dimulakan sejak 2010 dan siap sepenuhnya pada 2019.

“Projek itu dilaksanakan susulan keadaan pantai yang mengalami hakisan terutama ketika musim Monsun Timur Laut (MTL) dan terdedah kepada ombak kuat yang mencapai sehingga tiga meter sekitar November hingga Mac.

“Hakisan semakin kritikal selepas 2010 berikutan aktiviti pembangunan dan penebusgunaan tanah pesisir pantai dengan kehilangan kawasan pantai selebar 60 meter setiap tahun,“ katanya kepada pemberita selepas meninjau di sekitar Pantai Tok Jembal di sini hari ini.

Menurutnya projek berkenaan meliputi pembinaan pemecah ombak, terminal groyne, kerja-kerja landskap, struktur lapis lindung, training wall dan penyuburan pantai.

Nik Nazmi berkata lagi selain memulihkan jajaran pantai yang terhakis sepanjang 4.4 kilometer di Tok Jembal, ia juga menghasilkan pertambahan kawasan lapang pantai.

“Pantai Tok Jembal merupakan kawasan yang padat dengan penempatan dan dilengkapi kemudahan infrastruktur awam. Bilangan premis perniagaan dan kemudahan awam juga bertambah,“ katanya.

Ditanya mengenai projek baharu, beliau berkata perkara itu sudah ada dalam perancangan pihak kementerian dan dijangka akan dilaksanakan dalam tahun ini yang membabitkan projek struktur kawalan hakisan pantai sebagai kesinambungan kepada projek sedia ada. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image