PUTRAJAYA: Projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) akan diteruskan namun memerlukan penelitian semula, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Katanya, beliau akan diberikan taklimat berkaitan perkara berkenaan dalam tempoh terdekat.

“Saya akan mendapatkan taklimat (LCS) berkenaan daripada pihak berkaitan agar saya boleh benar-benar melihat latar belakang dan apa isunya.

“Kita akan pastikan supaya kapal-kapal (LCS) ini dibina, tiada guna cerita perkara lepas. Yang penting, kerana (LCS) ini merupakan aset strategik bagi ATM (Angkatan Tentera Malaysia),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas hadir pada Majlis Graduasi Maktab Ketahanan Nasional, Maktab Pertahanan Angkatan Tentera dan Maktab Turus Angkatan Tentera Tahun 2022 di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PuspaHanas) di sini hari ini.

Menurut Mohamad, beliau dan kepimpinannya akan memastikan kapal-kapal LCS dibina dan disiapkan dengan kadar terbaik.

Semalam, Panglima Armada Timur Laksamana Madya Datuk Sabri Zali berharap agar kapal LCS menjadi antara keutamaan kerajaan baharu bagi memantapkan kemampuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) khususnya di Armada Timur mempertahankan perairan negara.

Sebelum ini, bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilaporkan berkata kapal LCS pertama dijangka siap sekurang-kurangnya dalam tempoh dua tahun.

Sementara itu, mengulas mengenai isu elaun, kebajikan veteran dan perumahan tentera, Mohamad berkata perkara berkenaan akan diteliti dan dilaksanakan mengikut kemampuan negara.

“Kita kena beri keutamaan berdasarkan keadaan negara dan mengikut kemampuan negara yang mana kita perlu pastikan ia dapat disusun dengan baik,” katanya.

Turut hadir pada majlis berkenaan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abd Aziz, Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image