KUALA KANGSAR: Kerajaan negeri Perak yakin projek nadir bumi yang dikenal pasti sebagai lintonite di Hulu Perak, dijangka bakal menambah pendapatan kepada kerajaan negeri.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad(gambar) berkata kerajaan negeri telah mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) minggu lepas, dalam melaksanakan projek perintis tersebut.

“Kita bersetuju untuk di Perak ini diadakan projek perintis yang dibuat di tanah milik Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) di Hulu Perak.

“Kita telah pun melalui semua proses termasuk mendapatkan kelulusan EIA, cuma sekarang ia di peringkat syarikat yang telah diberi tanggungjawab. Mereka akan tentukan atau sahkan sama ada itu radioaktif atau bukan. Jika bukan, kita akan dapat sumber baharu iaitu lintonite,” katanya selepas melawat Sekolah Kebangsaan Jeliang di sini hari ini.

Saarani berkata sumber baharu itu dijangkakan lebih baik dari bijih timah dan boleh digunakan dalam teknologi seperti penggunaan di telefon, jam dan barangan elektrik.

Berkaitan lawatannya, Saarani berkata sebuah bangunan baharu berharga RM1.5 juta perlu dibina segera, bagi menggantikan bangunan sekolah itu yang mengalami kerosakan sejak beberapa tahun lalu memandangkan ia telah dibina pada 1954 dan kini tidak selamat, serta membahayakan keselamatan murid.

“Keperluan untuk merobohkan bangunan lama dan membina bangunan baharu perlu diganti segera kerana Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengesahkan bangunan itu tidak selamat,” katanya dan menambah peruntukan diperlukan bagi membolehkan pembinaan sebuah bangunan baharu dua tingkat yang mengandungi dewan, bilik darjah dan pejabat.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image