BANGKOK: Pemimpin Parti Move Forward, Pita Limjaroenrat, yang juga calon perdana menteri berkemungkinan hilang kelayakan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Thailand pada Ahad ini, berikutan dakwaan beliau memiliki 42,000 saham dalam iTV Plc, badan penyiar yang menamatkan operasi pada 2007.

Calon Parti Palang Pracharath, Ruangkrai Leekitwatana, menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat kelayakan Pita kerana perlembagaan negara melarang pemegang saham syarikat media bertanding dalam pilihan raya.

Beliau turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Negara (NACC) meneliti sama ada Pita membuat pengisytiharan aset palsu. Beliau mendakwa Pita gagal mengisytiharkan pegangan sahamnya semasa menjadi Ahli Parlimen.

Mengikut Perlembagaan, mana-mana individu yang memiliki atau memegang saham dalam organisasi media dilarang daripada bertanding dalam PRU.

Dalam kajian pendapat, Pita, 42, menjadi antara calon pilihan sebagai perdana menteri.

Sementara itu, Pita berkata beliau tidak bimbang terhadap dakwaan memiliki saham dalam iTV kerana saham itu diwariskan mendiang bapanya yang meninggal dunia pada 2006. Laporan media menunjukkan saham itu bernilai 5 baht setiap satu.

Katanya beliau telah lama memaklumkan NACC tentang saham itu.

Pasukan undang-undang parti bersedia untuk menjelaskan jika disoal oleh SPR, tulisnya di Twitter.

Sementara itu, Setiausaha Agung NACC, Niwatchai Kasemmongkol, berkata beliau dimaklumkan bahawa Pita telah memberi maklumat berhubung sahamnya kepada NACC.

Pada November 2019, Mahkamah Perlembagaan melucutkan kelayakan Thanathorn Juangroongruangkit, ketua Parti Future Forward sebagai Ahli Parlimen pada November 2019 kerana memiliki saham dalam V-Luck Media. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image