SANDAKAN: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor (gambar) hari ini menafikan khabar angin kononnya pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibuat serentak dengan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan.

Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata Dun Sabah masih mempunyai tiga tahun untuk berkhidmat secara penuh, dan kerajaan negeri di bawah GRS dan Barisan Nasional (BN) berikrar untuk bekerjasama membangunkan Sabah dan membawa kemajuan kepada rakyat.

“Kita mesti belajar daripada kesilapan politik lepas. Cukuplah, kita tidak perlu berpuak-puak dan berpecah-belah lagi. Kali ini kita berharap dapat bekerjasama dengan sebaik mungkin dan memajukan Sabah selaras dengan slogan Sabah Maju Jaya,“ katanya dalam kenyataan sempena Jelajah GRS Batu Sapi di sini hari ini.

Pada 11 Sept lepas, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah berkata tiada kemungkinan Dun dibubarkan untuk PRU15.

Sementara itu, Hajiji berkata semua parti komponen GRS iaitu Bersatu Sabah, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) telah bersetuju menggunakan simbol GRS pada PRU15.

“Apa yang penting kita terus memperkukuh GRS, gabungan yang mewakili rakyat berbilang kaum dan agama di Sabah. Ada pihak mendakwa PRU15 akan diadakan Oktober ini dan ada yang mengatakan ia akan diadakan tahun depan, tetapi apa pun, GRS sentiasa siap sedia,” katanya.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image