Rakyat dapat manfaat rawatan implan pergigian menerusi MoU antara KKM dan Straumann

PUTRAJAYA: Rakyat terutama daripada kumpulan B40 akan mendapat manfaat untuk rawatan implan pergigian menerusi satu perjanjian persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan Straumann Group Sdn Bhd iaitu syarikat peneraju bertaraf dunia dalam bidang implan (implantology) dan pergigian estetik.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin(gambar) berkata melalui MoU itu, Straumann Group berhasrat menyumbang 3,000 pakej implan pergigian lengkap bernilai lebih RM10 juta kepada kumpulan yang memerlukan.

“Bagi memastikan program implan pergigian ini berjaya dan tidak membawa kepada sebarang komplikasi, pemantauan berterusan oleh KKM dan komitmen pesakit untuk menghadiri rawatan susulan adalah sangat penting,“ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, kajian menunjukkan antara 19 dan 65 peratus pesakit yang menerima rawatan implan pergigian mendapat penyakit mucositis, manakala antara satu dan 47 peratus mendapat penyakit keradangan (peri-implantitis) sekiranya gagal dipantau secara berkala.

Khairy berkata hasil tinjauan Kesihatan Mulut Kebangsaan bagi Orang Dewasa 2010 menunjukkan satu daripada empat orang dewasa di Malaysia mempunyai prostesis akibat kehilangan gigi.

Secara amnya, 45.9 peratus daripada mereka yang masih mempunyai gigi memerlukan prostesis untuk menggantikan gigi yang hilang, katanya.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image