KUANTAN: Penduduk negeri Pahang masih ‘belum galak’ untuk mendapatkan suntikan dos penggalak Covid-19, kata Pengarah Kesihatan negeri (JKNP) Datuk Dr Nor Azimi Yunus.

Beliau berkata 40 peratus penduduk di Pahang yang diberikan janji temu, tidak hadir untuk mendapatkan suntikan dos penggalak setakat ini.

Katanya, daripada 1.02 juta penduduk disahkan lengkap dua dos vaksin dan layak mendapat vaksin dos penggalak, hanya sekitar 8.4 peratus atau 85,788 orang sahaja telah mendapatkan suntikan berkenaan.

“Dos penggalak sangat diperlukan bagi mengekalkan perlindungan terhadap jangkitan Covid-19 setelah tahap antibodi menurun enam bulan selepas dos kedua.

“Walaupun vaksin dos penggalak adalah satu pilihan, namun biarlah kita membuat pilihan yang baik untuk perlindungan diri dan orang lain. Vaksin telah dibuktikan mampu mengurangkan keterukan dan komplikasi jika dijangkiti wabak itu,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, beliau menyeru agar penduduk yang telah diberi janji temu menerusi aplikasi MySejahtera, untuk segera mendapatkan suntikan dos penggalak itu.

Nor Azimi berkata JKNP juga giat melaksanakan program bersama Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) termasuk di lokasi tumpuan ramai seperti di masjid dan pasar raya bagi meningkatkan kefahaman orang ramai tentang kepentingan mengambil dos penggalak. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image