Rancakkan penglibatan OKU dalam ekonomi digital: Ras Adiba

KUALA LUMPUR: Usaha merancakkan dan mengarusperdanakan penglibatan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam ekonomi digital harus dilipat ganda.

Presiden OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi(gambar) berkata dengan kemunculan platform dalam talian, peluang keusahawanan digital kini dilihat lebih inklusif dari semasa ke semasa kepada golongan itu.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan melancarkan Pelan Hala Tuju Ekonomi Digital Inklusif OKU.

“Ini akan membolehkan dan membuka ruang serta platform kepada komuniti (OKU) untuk terlibat secara langsung dalam ekonomi digital terutamanya perniagaan dalam talian,” katanya ketika berucap dalam Bengkel Usahawan OKU Sentral dan Maxis di sini, hari ini.

Menurut Ras Adiba prinsip pekerja harus menguasai penggunaan teknologi bagi kebolehpasaran mereka juga terpakai kepada golongan OKU bagi meningkatkan peluang mereka dalam mencari pekerjaan kalis masa hadapan serta meningkatkan rangkuman sosial.

Beliau juga berharap agar kerajaan dan pihak korporat dapat memainkan peranan bagi memastikan OKU turut serta dalam agenda pendigitalan serta berusaha menurunkan kadar atau jurang kemiskinan digital dalam kalangan komuniti itu.

Katanya penglibatan sektor swasta dalam program kepelbagaian pembekal juga boleh meningkatkan akses kepada pasaran untuk belia kurang upaya.

“Contohnya, Google menjalankan program kepelbagaian pembekal perniagaan kecil yang merangkumi perniagaan kecil milik orang kurang upaya,” katanya.

Beliau berkata kemahiran digital juga dilihat mampu membantu wanita muda kurang upaya untuk menjana pendapatan secara dalam talian meskipun berada di rumah.

“Pekerjaan digital boleh memberi kelebihan kepada wanita muda kurang upaya yang mengalami diskriminasi tambahan di tempat kerja (yang) mengehadkan peluang kemajuan mereka dan menghadapi tekanan masyarakat atau keluarga yang tidak menggalakkan pekerjaan formal mereka,” katanya.-Bernama