Rangkaian Pemborong Tunggal bagi pelaksanaan 5G akan bantu turunkan kos: Pakar

KUALA LUMPUR: Keputusan untuk mewujudkan Rangkaian Pemborong Tunggal (SWN) bagi pelan pelaksanaan 5G akan membantu menurunkan kos rangkaian berikutan spektrum akan digunakan dengan lebih cekap, kata seorang pakar telekomunikasi.

Profesor Dr. Tharek Abdul Rahman dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata dengan mempunyai satu penyedia untuk aplikasi SWN oleh Digital Nasional Bhd (DNB), tidak akan ada pertindihan sumber dan spektrum dapat digunakan dengan adil oleh semua pengendali rangkaian.

“Penyedia SWN akan memberi tumpuan kepada menyediakan infrastruktur untuk spektrum 5G seperti membina menara telekomunikasi manakala pengendali rangkaian lain dapat menggunakan infrastruktur itu dan menambah usaha untuk meningkatkan dan menambah baik perkhidmatan runcit mereka.

“Oleh itu, pelaksanaan rangkaian 5G akan lebih berdaya maju dan lebih cepat berbanding apa yang berlaku semasa pelaksanaan rangkaian 4G apabila setiap pengendali melaksanakannya secara berasingan dan pengguna juga dapat meraih manfaat dengan lebih banyak dari segi perkhidmatan rangkaian,” katanya kepada Bernama hari ini.

DNB adalah sebuah syarikat tujuan khas (SPV) milik Kementerian Kewangan yang ditubuhkan pada awal tahun ini, bertanggungjawab untuk pelaksanaan SWN bagi 5G di Malaysia.

SPV itu akan menjadi penerima tunggal spektrum 5G, terdiri daripada 700 megahertz (MHz), 3.5 gigahertz (GHz) dan 26/28GHz, bersama dengan lesen borong.

Pada Julai 2021, ia memberikan kontrak infrastruktur 5G kepada Ericsson Malaysia selepas menjalankan langkah tender rangkaian 5G.

Menurut Tharek, penyedia tunggal akan mempunyai sumber yang mencukupi untuk menyediakan spektrum yang diperlukan oleh pengendali rangkaian untuk mempunyai pelaksanaan 5G yang pantas.

“Pada pandangan saya, dengan situasi semasa, adalah lebih baik untuk mempunyai penyedia SWN yang akan memantau penggunaan spektrum 5G berbanding mempunyai banyak pemain berikutan spektrum yang ada adalah terhad, terutamanya pada 3.5 GHz.

“Ini akan menjadi contoh yang amat baik kepada negara lain jika kita dapat melaksanakannya dengan jayanya.

“Sudah tentu dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai pengawal selia, ia dapat memainkan peranan penting dalam mengawal selia kualiti perkhidmatan dan pengalaman pengguna,” kata Tharek, yang juga ahli MCMC.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image