Reezal Merican ketua delegasi Malaysia pada WUF ke-11

KATOWICE (POLAND): Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican(gambar) akan mengetuai delegasi Malaysia pada Forum Bandar Sedunia ke-11 (WUF11) di sini bermula esok.

Dalam kenyataan di sini hari ini, Reezal Merican berkata selain menyertai forum bertema ‘Transforming Our Cities, For A Better Urban Future’, beliau juga akan merasmikan Pavilion Malaysia dan prapelancaran Indeks Daya Huni Malaysia (iDAM), Selasa ini.

Pada WUF11, Reezal Merican dijadual menyampaikan ucapan mengenai Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) pada sesi tindakan berjudul ‘Liveability as a Vehicle Towards Achieving Urban Sustainability’.

WUF ditubuhkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2001 untuk mengkaji salah satu isu paling mendesak yang dihadapi dunia hari ini iaitu perbandaran pesat dan kesannya terhadap komuniti, bandar, ekonomi dan perubahan iklim.

Anjuran Program Penempatan Manusia PBB (UN-Habitat) ialah salah satu perhimpunan antarabangsa yang paling inklusif mengenai isu-isu bandar.

Ia menghimpunkan wakil kerajaan negara, wilayah dan tempatan, ahli akademik, ahli perniagaan, pemimpin masyarakat, perancang bandar dan wakil masyarakat sivil.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image