ISKANDAR PUTERI: Sebanyak RM113.7 juta diperuntukkan untuk melaksanakan inisiatif penyelenggaraan sungai dan saliran bagi mengurangkan risiko kejadian banjir dan banjir kilat di Johor.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi (gambar) berkata peruntukan tersebut akan disalurkan secara terus kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di daerah terlibat.

“Sebanyak RM71 juta peruntukan disediakan bagi tujuan pengurusan banjir dan saliran yang meliputi kerja-kerja penggalian dan mendalamkan sungai, membina rumah pam air, pembersihan kolam takungan banjir dan sistem amaran awalan banjir.

“Sejumlah RM42 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja penyelenggaran parit dan saliran,“ katanya ketika berucap membentangkan Belanjawan 2023 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.

Beliau berkata selain itu, sebanyak RM700,000 akan diperuntukkan bagi membeli pam bergerak untuk memudahkan operasi mengepam air banjir terutama di beberapa kawasan rendah yang sering dilanda banjir.

Katanya berdasarkan semakan data terkini JPS, terdapat 432 hotspot banjir telah dikenal pasti di seluruh Johor.

Sementara itu, Onn Hafiz berkata sebanyak RM1.8 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja pemuliharaan Sungai Skudai dan Sungai Tebrau termasuk projek Denai Sungai dan pelaksanaan Program Satu Daerah Satu Sungai bagi memastikan sungai tersebut sentiasa dalam keadaan bersih.

Menurut beliau, sebanyak RM300,000 disediakan bagi meneruskan usaha pemuliharaan Sungai Kim-Kim agar ia terus lestari dan mengelakkan berulangnya insiden pencemaran sungai terbabit yang berlaku pada 2019.

Dalam pada itu, beliau berkata bagi menjamin bekalan air bersih berterusan kepada rakyat, sejumlah RM1.3 juta diperuntukkan kepada Badan Kawalselia Air Johor (BAKAJ) bagi memastikan sumber air mencukupi dan kualiti air mentah terpelihara.

“Kerja-kerja pemantauan kualiti air secara berkala menggunakan teknologi geospatial dan pemantauan dalam talian akan diteruskan di Stesen Telemetri di sungai-sungai seperti Sungai Sayong, Sungai Semangar, Sungai Johor, Sungai Skudai, Sungai Benut dan Sungai Muar,“ katanya.

Onn Hafiz berkata bagi mengurangkan kadar kehilangan air atau air tidak berhasil (NRW), akibat kebocoran dan kerosakan paip agihan, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) memperuntukkan sebanyak RM280 juta kepada Ranhill SAJ Sdn Bhd bagi menggantikan paip sepanjang 234 kilometer pada tahun depan.

“Penggantian paip lama ini akan mengurangkan bilang jumlah kebocoran air, di samping dapat mempertingkatkan tekanan air dalam sistem paip pengagihan tersebut,“ katanya.

Persidangan DUN Johor bersambung pada Ahad.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image