SHAH ALAM: Sebanyak 31,822 kes demam denggi dilaporkan di Selangor sejak Januari hingga 19 Nov tahun ini, kata Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.

Dr Sha’ari berkata daripada jumlah itu, berlaku peningkatan kes sebanyak 131.5 peratus melibatkan 18,077 kes berbanding minggu epidemiologi (ME) sama tahun lepas iaitu sebanyak 13,745 kes.

“Pada ME 46 iaitu bagi tempoh 13 hingga 19 Nov 2022, sejumlah 744 kes demam denggi dilaporkan di Selangor, iaitu penurunan sebanyak 8.4 peratus (68 kes) berbanding 812 kes pada minggu sebelumnya,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata empat daerah yang mencatatkan kes demam denggi tertinggi adalah Petaling (10,927 kes), Hulu Langat (7,444), Klang (5,405) dan Gombak (4,308).

“Terdapat lapan kes kematian akibat demam denggi didaftarkan di Selangor tahun ini iaitu empat di Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Langat, dua di PKD Petaling manakala PKD Hulu Selangor dan PKD Kuala Langat masing-masing satu kes,“ katanya.

Sehubungan itu, Dr Sha’ari menyarankan setiap komuniti di kawasan kediaman supaya melaksanakan aktiviti pembersihan tempat pembiakan nyamuk Aedes secara berkala memandangkan cuaca hujan yang lebih kerap akan memperluas lokasi boleh bertakung air.

Beliau berkata keadaan yang lembap juga meningkatkan kemandirian hidup nyamuk Aedes.

“Jabatan Kesihatan Negeri Selangor menyarankan agar komuniti di kawasan kediaman meluangkan masa 10 minit seminggu untuk memastikan semua takungan air yang tidak digunakan dimusnahkan.

“Masyarakat juga perlu memastikan kawasan dalam rumah dan persekitaran sentiasa bersih, tiada tempat takungan air, meletakkan ubat pembunuh jentik-jentik di tempat takungan air yang tidak dapat dimusnahkan dan menutup rapat bekas takungan air kekal,“ katanya.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image