Saifuddin pengerusi mesyuarat penyelarasan tangani sindiket penipuan pekerjaan

KUALA LUMPUR: Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Saifuddin Abdullah (gambar) pada Selasa mempengerusikan mesyuarat penyelarasan bersama agensi-agensi kerajaan bagi memperhalusi, merangka, memantau dan mengambil tindakan ke atas kes-kes sindiket penipuan pekerjaan membabitkan rakyat Malaysia di luar negara.

Beliau berkata pada mesyuarat itu, agensi penguatkuasa membentangkan laporan siasatan, merangka penyelarasan teknikal dan menggerakan operasi antara agensi, bukan sahaja untuk menyelamat mangsa, malah untuk mengheret ahli sindiket penjenayah itu ke muka pengadilan.

“Jawatankuasa juga akan bekerjasama rapat secara langsung dengan agensi-agensi di luar negara yang terlibat supaya operasi boleh dijalankan dengan cepat dan tepat,” katanya dalam catatan di Facebook selepas mempengerusikan mesyuarat secara maya itu dengan para pegawai diplomatik di Yangon (Myanmar), Phnom Penh (Kemboja), Songkhla (Thailand), Manila (Filipina), jabatan-jabatan kerajaan dan agensi penguatkuasa.

Saifuddin sebelum ini dilaporkan berkata bahawa mesyuarat Kabinet bersetuju menubuhkan jawatankuasa khas untuk menangani kes-kes sindiket penipuan pekerjaan yang melibatkan rakyat Malaysia.

Beliau dilaporkan berkata bahawa kementeriannya sudah menerima laporan mengenai rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand.

Saifuddin berkata kerajaan menerusi kementerian luar, selain pegawai diplomatik Malaysia di luar negara, akan terus komited dalam memperkukuh usaha menyelamat mangsa dan membawa mereka pulang ke tanah air dengan selamat.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image