BUENOS AIRES: Legenda bola sepak Brazil Pele dilaporkan berada dalam keadaan stabil, menurut Agensi Anadolu.

Menurut pihak Hospital Albert Einstein di Sao Paulo, Pele,82, memberi tindak balas positif terhadap rawatan untuk “jangkitan pernafasan.”

Beliau dimasukkan ke hospital pada Selasa untuk rawatan susulan selepas pembedahan membuang colon tumor pada September 2021.

Anak perempuan Pele, Kelly Nascimento, awal minggu ini menulis di Instagram yang menyatakan bapanya tidak berdepan situasi yang mencemaskan.

Semasa perlawanan Brazil menentang Cameroon di Piala Dunia Qatar pada Jumaat penonton di stadium memegang sepanduk yang tertulis “Pele Get Well Soon”.

“Kawan-kawan, saya berada di hospital untuk melakukan rawatan susulan. Gembira dengan ucapan yang diberikan. Terima kasih kepada Qatar atas penghormatan ini dan kepada semua yang menghantar ucapan buat saya,“ tulis Pele di Instagram.

Pele pernah membantu Brazil memenangi tiga Piala Dunia pada 1958, 1962 dan 1970.

Beliau menjadi penjaring terbanyak untuk pasukan Brazil dengan 77 gol dalam 92 perlawanan dan dianggap sebagai seorang pemain terhebat sepanjang zaman.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image