KOTA KINABALU: Parti Maju Sabah (SAPP) hari ini mengulangi sokongan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terhadap kerajaan perpaduan seperti yang diumumkan Pengerusi gabungan itu merangkap Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee, yang memaklumkan perkara itu di Majlis Tertinggi parti hari ini, berkata SAPP turut mengesahkan keanggotaannya dalam Perikatan Nasional (PN) yang telah berikrar untuk memainkan peranan semak dan imbang di peringkat persekutuan.

Beliau berkata senario politik semasa yang menyaksikan GRS-Barisan Nasional (BN) menerajui Kerajaan Negeri Sabah dan kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim saling menghormati dan menyokong antara satu sama lain adalah mengikut aturan Perlembagaan dalam demokrasi berparlimen persekutuan.

“Aturan perlembagaan sedemikian adalah amat penting dalam membina persekutuan yang kukuh. Juga adalah bijak bagi kerajaan ketika ini, di peringkat persekutuan mahupun negeri, untuk menjalin hubungan yang sihat agar kedua-duanya lebih berkesan dan cekap dalam mentadbir negara,” menurutnya dalam kenyataan itu.

Yong berkata SAPP yakin bahawa kerajaan persekutuan yang baharu akan menghormati serta menjunjung tinggi kedaulatan undang-undang dan semangat perlembagaan negara bagi sistem persekutuan di mana semua negeri dan kerajaan persekutuan pada masa itu akan saling bekerjasama demi kebaikan bersama rakyat tanpa mengira fahaman politik.

GRS, yang dianggotai Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), SAPP dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), yang bekerjasama dengan BN, terdiri daripada Umno, MCA, MIC serta Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), untuk mentadbir Sabah.

Presiden STAR Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, dalam kenyataan berasingan, pula berkata parti itu mengambil pendirian yang sama dengan GRS menyokong kerajaan perpaduan.

Bagaimanapun, beliau melihat PN kini di laluan berbeza dengan STAR dan hanya masa akan menentukan kedudukan parti itu dalam gabungan berkenaan selain ingin menunggu situasi politik semasa reda sebelum mengambil langkah selanjutnya.

Timbalan Ketua Menteri itu juga berkata STAR berharap ada hasil yang menonjol berkaitan tuntutan untuk mengembalikan hak Sabah di bawah kerajaan perpaduan pimpinan Anwar terutama membabitkan kewangan.

“Saya amat mengenali Perdana Menteri baharu dan beliau mengenali saya termasuk mengenai tuntutan kita.

“Saya harap dengan kerjasama yang kita ada sekarang, kita akan dapat melihat hasil yang lebih menonjol berkaitan tuntutan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia,” katanya.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image