KUANTAN: Seorang anggota polis berpangkat Sarjan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 42 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM11,600, selama dua tahun mulai 2017.

Bagaimanapun, Abdul Ghafa Harun, 57, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu yang mengambil masa 30 minit untuk dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu antara 2 Jan 2017 hingga 3 Dis 2019 melalui transaksi pemindahan wang secara dalam talian ke akaun bank miliknya yang diketahuinya berkaitan dengan tugasnya sebagai anggota polis trafik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.

Bapa kepada tiga anak itu dituduh menerima suapan sebanyak RM600 daripada seorang lelaki sebanyak lapan kali, manakala bakinya didakwa diterima daripada seorang wanita dengan setiap transaksi melibatkan bayaran RM200.

Pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nadzirah Zahari menawarkan jaminan RM10,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin, mengambil kira jumlah pertuduhan dan nilai yang terlibat.

Bagaimanapun, peguam Fakhrul Redha Paridul Adras yang mewakili Abdul Ghafa memohon jumlah itu dikurangkan atas faktor kesihatan anak guamnya yang menghidap penyakit jantung dan kencing manis.

“Tertuduh telah berkhidmat selama 38 tahun iaitu sejak berusia 19 tahun dan mempunyai rekod cemerlang termasuk menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pada 1999 dan 2015 selain turut menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara pada 2019 atas sumbangannya semasa situasi darurat.

“Anak guam saya kini bertugas di Unit Pameran IPK Pahang dengan pendapatan bersih RM2,000 sebulan dan telah dimaklumkan akan digantung tugas selepas ini dengan bayaran gaji dipotong separuh,“ katanya dan menambah tertuduh telah memberi kerjasama sepenuhnya sepanjang siasatan.

Ahmad Zamzani membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan serta syarat tambahan tertuduh melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Beliau kemudiannya menetapkan 9 Mac depan untuk sebutan semula kes. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image