SHAH ALAM: Bermula dengan hanya dua unit bangunan komersial yang disewa pada tahun 2015, kini Sekolah Antarabangsa IDRISSI, Setia Alam bakal mempunyai bangunan sendiri apabila ia bakal siap dibina sepenuhnya, pada awal tahun hadapan.

Pengasasnya Zaliza Alias berkata pembinaan sekolah di tapak baharu oleh Hawari Holdings Sdn Bhd, di tanah berkeluasan 0.69 hektar (1.7 ekar) yang terletak di Setia Alam itu, hanya kira-kira satu kilometer dari bangunan sekolah ketika ini, yang sedang beroperasi dan menempatkan 600 pelajar dan 70 guru serta kakitangan.

Zaliza berkata dengan pembukaan sekolah di tapak baharu itu, bakal menjadi anjakan yang paling bermakna dalam sejarah sekolah berkenaan, selain ia akan turut memberi lebih ruang keselesaan kepada pelajar untuk menjalani sesi akademik dan aktiviti kokurikulum, dengan lebih kondusif.

Beliau berkata bangunan baharu itu, akan mempunyai 50 bilik darjah berhawa dingin melibatkan prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah, masing-masing dua makmal sains, makmal komputer, makmal seni, makmal serbaguna, manakala pelbagai lagi kemudahan antaranya perpustakaan dalam taman, kafeteria, ladang haiwan mini, gelanggang badminton serta bola keranjang.

“Majlis pecah tanah ini, merupakan titik penting dalam dunia pendidikan bagi Sekolah Antarabangsa IDRISSI dan ia menandakan permulaan baharu bagi sekolah ini, serta menjadi penanda aras kejayaan kami dalam bidang pendidikan.

“Dengan pembukaan bangunan baharu ini, Sekolah Antarabangsa IDRISSI Setia Alam bersedia menerima lebih ramai pelajar dan mampu menempatkan lebih 1,000 pelajar dengan fasiliti pendidikan yang lebih menarik,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Bangunan Baharu Sekolah Antarabangsa IDRISSI Setia Alam di sini, hari ini.

Zaliza berkata sekolah yang ditubuhkan pada tahun 2015 itu, merupakan sekolah antarabangsa berkonsep ekoislamik pertama di Malaysia, merangkumi pendidikan peringkat prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah antarabangsa swasta, yang berasaskan pendidikan alam sekitar.

Beliau berkata sekolah yang berteraskan konsep menghargai alam sekitar itu, turut menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif dengan purata seramai 20 orang pelajar setiap kelas, dengan menawarkan kurikulum antarabangsa Cambridge, bahan pendidikan Islam yang diluluskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), serta kurikulum reka bentuk dan teknologi moden yang direka khas bagi menggalakkan kreativiti pelajar dalam setiap aktiviti yang dilaksanakan.

“Sekolah ini telah dianugerahkan lima bintang melalui penilaian Standard Kualiti Institusi Pendidikan Swasta (SKIPS) oleh Kementerian Pendidikan, dari segi kebitaraan dan kemenjadian pelajar bermula 2018 sehingga kini,” katanya.

Zaliza berkata selain di Setia Alam, Sekolah Antarabangsa IDRISSI juga mempunyai cawangan lain di EduCity Iskandar Puteri, Johor yang beroperasi pada Okt 2019 dan merancang untuk membuka lima lagi khususnya di sekitar Lembah Klang, dalam tempoh lima tahun akan datang.

Turut hadir Ahli Lembaga Pengarah GAINS Education Group Datin Zetti Hana Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif GAINS Education Group Julie Wong dan Pengetua Sekolah Antarabangsa IDRISSI Nur Raimi Rasdi. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image