MELAKA: Sektor kebudayaan menunjukkan prestasi positif dalam menyumbang kepada pendapatan negara.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Dr Santhara Kumar berkata walaupun berdepan dengan cabaran getir terutama ketika fasa pandemik, jumlah pendapatan sektor itu terus meningkat pada tahun 2022 dengan sasaran awal sebanyak RM300 juta.

“Pada tahun 2019 sektor kebudayaan telah menyumbang pendapatan negara sebanyak RM585 juta dan pada tahun 2020 pendapatan menyusut kepada RM241 juta kerana penularan wabak COVID-19.

Bagaimanapun pendapatan sektor kebudayaan meningkat sebanyak RM20 juta kepada RM261 juta pada tahun 2021,“ katanya dalam ucapan perasmian Malam Gala “Magic Of The Night” 2022 dengan tema “Madanna Di Bumi Bertuah” di Dataran Sungai Melaka di sini malam ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKOMM) Tan Sri Annuar Musa.

Sementara itu, Sulaiman dalam ucapannya berkata program yang berlangsung selama tiga hari sejak semalam mampu memberi impak besar dalam menyerlahkan seni dan budaya Keluarga Malaysia.

Katanya inisiatif ini bukan sahaja dapat menghangatkan kembali pelaksanaan aktiviti secara fizikal malah turut merancakkan kembali perkembangan ekonomi dan industri pelancongan di Melaka.

“Semua pengisiannya juga bertepatan dengan adat warisan, seni dan budaya yang terdapat di Negeri Melaka.

Justeru, saya menyeru kepada semua warga Negeri Melaka dan yang berada di luar Negeri Melaka untuk sama-sama menyokong dan menyertai program yang julung kali diadakan ini bagi pelancongan yang boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa” katanya.

Sulaiman berkata dengan komitmen yang padu oleh semua pihak tanpa mengira kaum, fahaman politik, pegangan agama serta adat dan budaya, program sebegini akan dapat menjadi tonggak utama menjadikan Negeri Melaka yang makmur dan sejahtera bersama,“ katanya.

Terdahulu majlis perasmian diserikan dengan persembahan teater muzikal dan perarakan bot berhias yang mewakili etnik di Malaysia.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image