MELAKA: Sektor pelancongan di Melaka terus menunjukkan perkembangan positif apabila kehadiran pengunjung di muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) meningkat hampir 80 peratus.

Timbalan Pengerusi Perzim Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata peningkatan jumlah pengunjung itu secara tidak langsung membuktikan segala perancangan yang dilakukan oleh kerajaan negeri amat berkesan.

''Sejak sempadan negeri dibuka, sektor pelancongan semakin pulih. Kita dapat lihat melalui keadaan lalu lintas malah pengunjung muzium-muzium di sini juga ramai,'' katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran logo Persatuan Pelancongan Melaka (MTA) di sini malam tadi.

Mengenai inap desa, beliau yang juga Pengerusi Persatuan Homestay Melaka berkata tempahan bagi penginapan tersebut turut luar biasa terutama sepanjang November dan Disember ini.

''Homestay kini kita terima banyak tempahan kerana November dan Disember, orang ramai dah boleh buat kenduri. Jadi tempahan homestay memang penuh,'' katanya.

Sementara itu, Presiden MTA Madelina Kuah Mei Lee berkata pelancaran logo baharu MTA itu tepat pada masanya di saat persatuan itu perlu bergerak ke depan mengikut era baharu.

Katanya logo baharu itu juga sebagai lambang lebih ramai generasi Y menceburi bidang pelancongan dengan pendekatan baharu dalam norma baharu sektor pelancongan Melaka.

“Malah warna yang melambangkan peta negeri Melaka turut membawa makna yang tersendiri seperti warna merah yang melambangkan keberanian, putih melambangkan kesucian, kuning keceriaan dan kelabu pula bermaksud kesatuan antara ahli persatuan ini.

“Ini adalah sebagai lambang persatuan yang bergerak mengikut era baharu dalam norma baharu pasca penularan pandemik Covid-19,“ katanya.

Beliau berkata perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara empat agensi dan MTA pada majlis itu juga merupakan antara usaha pemain industri memacu semula sektor pelancongan Melaka.

Empat agensi iaitu Bayou Lagoon Park Resort, Melaka Taming Sari Sdn. Bhd; Ukhwah Harmoni Travel & Tour Sdn Bhd dan Melaka Hari Ini Sdn Bhd memeterai MoU, yang menawarkan pelbagai faedah kepada ahlinya termasuk potongan diskaun.

“Setakat ini fokus (MoU) kita adalah antara pemain industri pelancongan dalam Melaka sahaja. Jika keadaan sudah semakin reda dan selesa, kita akan buka dengan agensi di luar.

“Tiada masalah kerana kita juga ada pertalian antara Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) malah dengan persatuan pelancongan di setiap negeri bagi mempromosikan sektor pelancongan masing-masing,“ katanya.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image