Sembilan ditahan dipercayai seleweng diesel bersubsidi

JOHOR BAHRU: Sembilan lelaki ditahan dipercayai terlibat dalam kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi melibatkan rampasan sebanyak 17,444 liter dalam tiga serbuan berasingan di daerah ini, mulai petang semalam hingga awal pagi tadi.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat (gambar) berkata kesemua individu yang terdiri daripada lapan lelaki tempatan dan seorang warga asing berusia 20 hingga 41 tahun itu ditahan menerusi Op Kontraban antara 5 petang dan 2.15 pagi.

Beliau berkata tangkapan pertama di sebuah stesen minyak di Skudai, kedua di sebuah stor di Ulu Tiram manakala ketiga di kawasan perindustrian di Pasir Gudang.

“Menerusi serbuan tersebut, polis merampas diesel bernilai RM48,494, empat lori, satu van, enam tangki minyak besi dan tiga tangki plastik intermediate bulk container (IBC) melibatkan nilai keseluruhan rampasan RM281,494,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Kamarul Zaman, seorang daripada mereka iaitu individu berusia 25 tahun mempunyai rekod lampau di bawah kesalahan Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Beliau berkata kesemua lelaki itu diserah kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk siasatan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image