OVIEDO (Sepanyol): Sepanyol pada Khamis menguat kuasa kod tingkah laku baharu yang bertujuan menghapuskan stereotaip jantina dalam iklan mainan kanak-kanak.

Pengiklan di Sepanyol bersedia menghentikan amalan kebiasaan seperti memasarkan anak patung secara eksklusif kepada kanak-kanak perempuan atau kereta hanya kepada kanak-kanak lelaki, lapor Agensi Anadolu.

“Matlamatnya adalah agar iklan alat mainan menjadi lebih tepat dan membina ... dan iklan menggunakan bahasa yang inklusif serta memberi contoh positif bagi menggalakkan penggunaan yang sihat, bertanggungjawab dan mampan,” menurut kenyataan dikeluarkan kerajaan Sepanyol.

Kod baharu itu dirangka berdasarkan tinjauan oleh kerajaan terhadap iklan kanak-kanak pada 2020, yang mendapati bahawa iklan mainan dipenuhi stereotaip jantina.

Sebanyak 34 peratus iklan melibatkan profesion untuk gadis cenderung dikaitkan dengan sektor kecantikan.

Sebaliknya, 50 peratus jenis iklan yang sama untuk kanak-kanak lelaki menggambarkan profesion juruterbang, pegawai polis atau askar.

Kod baharu itu ditandatangani persatuan yang mewakili kira-kira 80 peratus jualan mainan di Sepanyol, dan sebarang iklan yang melanggar peraturan baharu itu perlu dikeluarkan.

Sementara itu, kod tingkah laku itu juga memerlukan pihak pengiklan menyenarai lebih banyak maklumat tentang produk, seperti julat harga dan jika pemasangan diperlukan.

“Mainan yang bebas daripada stereotaip membolehkan kanak-kanak berseronok dan mencapai potensi penuh mereka.

“Kita mesti menghantar mesej yang jelas (bukan stereotaip) kerana pengiklanan yang ditujukan kepada kanak-kanak juga membantu membentuk identiti mereka,“ kata menteri hal ehwal pengguna Sepanyol, Alberto Garzon.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image