TEL AVIV: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken (gambar) dijadual melawat Israel dan wilayah Palestin mulai Isnin.

Blinken dijadual mengadakan rundingan dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan Menteri Luar Eli Cohen dan antara agenda utama perbincangan ialah mengenai pencerobohan Israel dan ketegangan hubungan dengan Palestin selain isu Iran, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Pada Selasa, Blinken bertemu Presiden Palestin Mahmoud Abbas di Ramallah dengan matlamat utama untuk meredakan ketegangan Israel-Palestin yang memuncak sejak beberapa hari kebelakangan.

Dalam satu serangan maut di Baitulmaqdis, seorang warga Palestin berusia 21 tahun melepaskan tembakan ke arah orang ramai ketika keluar dari rumah ibadat selepas solat Jumaat.

AS mengutuk sekeras-kerasnya serangan di Baitulmaqdis Timur yang mengorbankan tujuh nyawa.

Pada Khamis, sembilan rakyat Palestin terbunuh dalam serbuan tentera Israel di kem pelarian Jenin.

Dalam satu ucapan pada Ahad, Netanyahu berjanji untuk “bertindak tegas” terhadap penyerang dan berkata beliau bersedia untuk melaksanakan dasar yang lebih tegas.

Pemimpin Israel itu turut bercakap tentang “memperkukuh” penempatan Israel, namun dikritik hebat oleh Blinken baru-baru ini.

Lebih 600,000 pendatang Israel tinggal di wilayah yang didakwa rakyat Palestin tempat untuk mendirikan sebuah negara merdeka dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image