PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen melumpuhkan rangkaian sindiket perjudian dalam talian yang didalangi warga asing susulan beberapa serbuan di sekitar Lembah Klang pada Selasa dan semalam, serta menahan 15 individu dengan 14 daripadanya adalah warga asing.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata serbuan pertama pada kira-kira 10 malam Selasa di sekitar Selangor, membabitkan sebuah premis yang berselindung di sebalik perniagaan snuker dengan menyediakan bilik rahsia yang diubah suai sebagai pusat perjudian.

Beliau berkata dalam serbuan itu, pihak imigresen menahan tiga lelaki Indonesia dan seorang lelaki Bangladesh yang dipercayai dalang sindiket.

Katanya turut ditahan dua wanita Indonesia masing-masing berumur 25 dan 40 tahun yang bekerja sebagai operator mesin perjudian di premis berkenaan selain didapati tidak memiliki sebarang pas yang sah, dan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun dipercayai penyelia yang juga penjaga premis berkenaan.

“Pelanggan yang ingin memasuki bilik rahsia berkenaan mesti mempunyai kod rahsia yang ditetapkan oleh sindiket terbabit,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Ruslin berkata serbuan seterusnya dibuat di beberapa premis di Kuala Lumpur melibatkan penahanan enam lelaki Bangladesh, seorang lelaki Nepal dan seorang wanita Indonesia.

Menurutnya dalang yang berusia 40 tahun itu memiliki Pas Lawatan Sosial Suami kerana berkahwin dengan wanita tempatan selain turut mempunyai syarikat perkhidmatan yang telah beroperasi hampir dua tahun.

Katanya antara yang dirampas dalam serbuan tersebut adalah 46 komputer, 37 pasport milik individu berkenaan dan individu lain, selain wang tunai sebanyak RM114,450 dipercayai hasil aktiviti perjudian.

“Berdasarkan jumlah wang tunai yang dirampas jabatan percaya sindiket ini mampu meraih keuntungan sekitar RM1.3 hingga RM1.5 juta setahun,” katanya.

Ruslin berkata kesemua warga asing yang ditahan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan mereka ditahan di Depot Imigresen, manakala lelaki warga tempatan direman tiga hari bagi membantu siasatan. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image