KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini sekali lagi menolak permohonan pemilik Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali(gambar) bagi mendapatkan hak penjagaan terhadap dua lagi angkatnya.

Peguam Nur Aminahtul Mardiah Md Nor yang mewakili Siti Bainun ketika dihubungi pemberita berkata pada prosiding semalam, Majistret Norfarahain Roslan memerintahkan hak penjagaan bagi remaja perempuan berusia 14 tahun dan kanak-kanak lelaki empat tahun itu, diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Beliau berkata mahkamah memerintahkan mereka diserahkan kepada JKM bagi tempoh tiga tahun dan akan menyelidik semula perkara tersebut, selepas tamat tempoh berkenaan.

Berikutan keputusan itu Siti Bainun, 29, gagal mendapatkan hak penjagaan ke atas lima anak angkatnya kerana empat daripada mereka diserahkan kepada JKM dan seorang lagi dikembalikan kepada ibu kandung.

Sebelum ini, mahkamah sama menolak permohonan Siti Bainun untuk mendapatkan hak penjagaan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia (tiga tahun) dan memerintahkan mereka diletakan di bawah jagaan JKM.

Wanita itu juga gagal mendapat hak penjagaan sama, selepas mahkamah itu memerintahkan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun diserahkan kepada ibu kandungnya.

Pada 2 Ogos lepas, Siti Bainun dan empat ibu kandung memfailkan permohonan melalui notis secara bersama di Mahkamah Majistret di sini, perintah jagaan sementara terhadap lima kanak-kanak yang diberikan kepada beberapa rumah jagaan di bawah JKM pada 16 Julai lepas dibatalkan serta-merta, di bawah Seksyen 30 (13) (c) Akta Kanak-Kanak 2001.

Siti Bainun dan empat ibu kandung itu memfailkan permohonan tersebut dengan menamakan JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, sebagai responden.-Bernama