KUALA LUMPUR: Empat aksi persahabatan termasuk menentang skuad utama Belgium dan Perancis diatur buat skuad hoki lelaki kebangsaan, sepanjang Siri Jelajah Belgium yang akan bermula Selasa hingga 6 Okt ini.

Seramai 22 pemain skuad Speedy Tigers akan berkampung di Brussels selama dua minggu sebagai persediaan ke kejohanan Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar-Rourkela, India dari 13 hingga 29 Jan tahun depan.

Siri persahabatan kali ini tidak akan menampilkan penyerang Faizal Saari yang kini masih beraksi di Liga Utama Belanda bersama Kelab Hoki ZSV Schaerweijde dan Mohamad Ashran Hamsani yang masih menjalani sesi rehabilitasi.

Ketua jurulatih A. Arul Selvaraj (gambar) berkata siri jelajah itu penting buat skuad bimbingannya bagi menguji tahap keupayaan mereka beraksi dalam perlawanan berintensiti tinggi selepas lebih 10 minggu menjalani latihan kesesuaian fizikal.

“Antara fokus kami dalam aksi persahabatan ini juga adalah untuk mempersiapkan pasukan menjelang Piala Sultan Azlan Shah 2022 dari 1 hingga 10 Nov, selain membantu kami menilai tahap dan prestasi pasukan menjelang kejohanan itu.

“Kami bakal bertemu pasukan terbaik...Belgium menduduki ranking kedua dunia dan Perancis di ranking ke-11 dunia. Pastinya siri persahabatan ini akan menguji tahap ketahanan, pemikiran dan cara pemain membuat keputusan di atas padang,” katanya menerusi kenyataan daripada Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

Arul Selvaraj berkata siri jelajah itu juga bakal menjadi platform buat pemain seperti Mohd Zaimi Mat Deris, Muhammad Aminuddin Mohd Zain, Muhamad Ramadan Rosli dan Syarman Mat Tee yang belum pernah mengikuti perlawanan berintensiti tinggi tahun ini, bagi membuktikan kemampuan masing-masing.

Skuad Speedy Tigers, yang berada pada ranking ke-10 dunia, akan berlepas ke Brussels esok.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image