BANDAR PERMAISURI: Sepasang suami isteri maut manakala anak lelaki mereka cedera parah dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu dekat Kampung Selamat di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Setiu DSP Affandi Hussin berkata dalam kejadian yang berlaku pada 1.30 tengah hari itu, Faizul Azman Awang, 44, dan isterinya, Habshah Ismail, 42, meninggal dunia di tempat kejadian.

Anak pasangan itu, Muhammad Daniel Dzulkarnain,13, pula cedera parah di bahagian muka dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Affandi berkata nahas berlaku ketika mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kuantan, Pahang selepas menziarahi ahli keluarga yang meninggal dunia di Besut.

“Setiba di lokasi kejadian, kenderaan Proton Exora yang dipandu Faizul Azman dipercayai bertembung dengan lori yang datang dari arah bertentangan,” katanya.

Beliau berkata pemandu lori dan kelindan serta 11 individu daripada tiga kenderaan lain iaitu Nissan Navara, Perodua Axia dan Toyota Wish tidak mengalami kecederaan.

“Mayat kedua-dua mangsa dikeluarkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk bedah siasat,” katanya.

Affandi berkata siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image