LENGGONG: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah(gambar) berkenan berangkat ke majlis Jamuan Raya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Tampan merangkap Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani di Kolej Kemahiran Tinggi MARA di sini hari ini.

Turut berkenan berangkat ke majlis itu Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Besar Perak Raja Nazhatul Shima Idris Shah, Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Abdul Halim Shah.

Keberangkatan tiba Sultan Nazrin pada 12 tengah hari itu disambut Saarani pada majlis dihadiri kira-kira 10,000 pengunjung dari pelbagai kaum yang bermula seawal 9.30 pagi.

Saarani dalam ucapannya berkata pandemik Covid-19 membawa hikmah besar buat sekalian rakyat bahawa hanya dengan muafakat dan semangat kebersamaan, mereka mampu menempuh apa jua dugaan dan cabaran.

“Susulan pelaksanaan fasa endemik sejak 1 April lepas, sekalian rakyat khususnya umat Islam dapat merasai semula keindahan Aidilfitri dengan menggamit kembali tradisi kunjung mengunjung dan rumah terbuka setelah dua tahun bergelut dengan kekangan demi kekangan akibat pandemik Covid-19,“ katanya.

Sultan Nazrin meluangkan masa sejam di rumah terbuka itu, menikmati juadah raya yang dihidangkan termasuk lemang, ketupat dan rendang ayam sebelum berangkat pulang kira-kira 1 petang.-Bernama