IPOH: Mendiang Tan Sri Lee Loy Seng yang digelar “Taiko Perladangan”, telah memainkan peranan penting dan banyak menyumbang kepada sekolah, hospital dan penjagaan kesihatan, serta kemudahan orang tua di sekitar Ipoh.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah (gambar) bertitah sumbangan mendiang amat dihargai oleh pelbagai masyarakat yang mendapat manfaat daripadanya.

“Beliau (Lee) memainkan peranan ini bukan sahaja dengan cemerlang tetapi mengagumkan, meninggalkan kesan yang berkekalan terhadap semua aktiviti yang beliau terlibat.

“Selain persahabatan, kerjasama dan bimbingan, beliau memainkan peranan penting dalam masyarakat, baik di Ipoh ini dan Perak malah melangkauinya,” titah baginda semasa merasmikan Wisma Taiko yang dimodenkan dan pelancaran buku ‘Lee Loy Seng-The Taiko of Plantations’, di sini hari ini.

Sultan Nazrin bertitah keluarga Lee telah membawa warisan hebat ini ke tahap yang lebih tinggi dan syarikat yang diasaskan mendiang, Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK), kini merupakan antara syarikat tersenarai awam terkemuka di Malaysia.

Sultan Nazrin bertitah walaupun aktiviti teras KLK masih merupakan syarikat perladangan, syarikat itu juga telah berjaya mempelbagaikan produk hiliran kepada pembuatan oleo-kimia dan bidang lain, malah mungkin mengatasi visi mendiang sebagai pengasas.

“KLK berada di peringkat global, di Eropah, China, dan Indonesia, selain Malaysia, dengan jumlah tenaga kerja kira-kira 47,000 orang. Syarikat membantu pekerja mencari nafkah dan impian ramai, di samping turut menyumbang dari segi pelaburan dan pertumbuhan ekonomi dalam pelbagai pasaran tempat ia beroperasi.

“Sekali lagi, ini termasuk Malaysia, dan di Ipoh ini, di mana sumbangan ekonomi dan sosial syarikat adalah besar, dan amat dihargai oleh rakyat Perak,“ titah Sultan Nazrin.

Baginda bertitah perniagaan syarikat yang berkembang ini boleh dianggap sebagai penghormatan kepada mendiang yang berjiwa hebat sehingga KLK terus kekal kukuh dengan pertumbuhan agak luar biasa, mencerminkan nilai murni pengasasnya.

“Integritinya, kerendahan hatinya, disiplinnya, dan kesetiaannya - kepada keluarga, rakan sekerja, kakitangan, dan tempat kelahirannya - telah diteruskan dengan sangat mengagumkan oleh anak-anaknya. Ini mungkin nilai lama, namun kita semua patut mencontohi Lee, baik untuk manfaat kehidupan kita sendiri mahupun kesejahteraan negara kita,” titah baginda.

Mengenai buku itu, Sultan Nazrin mengesyorkan semua pihak membacanya kerana ia menawarkan butiran menarik tentang sejarah Malaysia, serta pandangan tentang pendekatan Lee terhadap perniagaan dan kehidupan, yang telah meninggalkan legasi langsung yang luar biasa.

“Lebih-lebih lagi, falsafahnya juga boleh menjadi panduan berguna kepada kita semua, menunjukkan kepada kita bahawa impak yang boleh diperoleh apabila seseorang mempunyai kepercayaan, integriti dan kesetiaan; kerja keras dan disiplin; dan dedikasi untuk memajukan keluarga dan masyarakat,” katanya.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image