SUNGAI BULOH: Kesiapsiagaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menghadapi Monsun Timur Laut berada pada tahap 90 peratus setakat ini, kata Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun (gambar).

Beliau berkata ini kerana masih terdapat sesi Simulasi Latih Amal Pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang bermula sejak Ogos lepas dan dijangka selesai bulan hadapan, bagi memastikan pengurusan pemindahan lebih tersusun dan sistematik di semua negeri,

“Dari segi persediaan dan sukarelawan, kita sudah ada senarai nama namun kita memerlukan penyertaan lebih ramai lagi sukarelawan.

“Bagi sukarelawan berdaftar, kita akan berikan taklimat dan pengkhususan bagaimana cara nak membantu di PPS, berkaitan dengan mangsa banjir dan sebagainya,“ katanya selepas melawat Depoh Simpanan Keperluan Bencana Sungai Buloh di Kompleks Penyayang BAKTI di sini hari ini.

Beliau berkata kementerian itu mempunyai lapan Depoh Simpanan Keperluan Bencana iaitu di Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah, Selangor, Johor, Sarawak dan Sabah yang berperanan sebagai fasiliti penyimpanan bantuan bencana seperti barang keperluan asas, makanan kering dan barangan atau keperluan tambahan.

Katanya JKM turut menyediakan 140 stor negeri atau daerah sebagai persediaan selain mengenal pasti 6,010 PPS di seluruh negara bagi tahun ini berbanding 5,731 PPS pada 2021.

Pada Isnin lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan JKM bersiap sedia mengaktifkan 6,010 PPS di seluruh negara yang boleh menempatkan 1,620,855 mangsa.

Rina berkata kerajaan memperuntukkan RM9.16 juta bagi menghadapi bencana banjir tahun ini berbanding RM7.3 juta pada tahun lepas, melibatkan pertambahan sebanyak RM1.82 juta.

Ditanya mengenai isu video tular melibatkan seorang pelakon terkenal bagi mempromosi program Wanita Bangkit @ KPWKM, beliau berkata sesetengah pihak perlu berhenti mempolitikkan setiap perkara sebaliknya meneliti kandungan program dan manfaatnya kepada orang ramai.

“Saya kira dalam waktu sekarang kita jangan asyik nak mempolitikkan semua benda, kita (perlu) tengok kandungan program tersebut, apa yang lebih penting ramai yang memerlukan pembelaan dan perlu dibantu.

“Saya harap kalau Hannah Yeoh atau sesiapa sahaja nak membantu, kita alu-alukan untuk sama-sama membantu wanita memerlukan, bukan hanya tahu bercakap sahaja tetapi tidak melaksanakan,“ katanya.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image