PORT DICKSON: Tentera Darat Malaysia (TDM) menyasarkan sifar peratus kes salah laku dalam kalangan anggotanya terutama membabitkan perajurit baharu yang terpilih, kata Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain (gambar).

Beliau berkata ini kerana anggota baharu yang dipilih untuk memasuki TDM terlebih dahulu telah melalui proses saringan yang ketat termasuk pemeriksaan jenayah dan salah laku dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kemungkinan ia agak sukar (capai sifar kes salah laku) tetapi kita sentiasa berusaha ke arah itu, kita buat pemilihan perajurit pun kita periksa latar belakang mereka dulu, kita hantar maklumat peribadi kepada PDRM untuk kita tengok sama ada mereka mempunyai kes jenayah atau tidak sebelum ini.

“Tetapi apabila mereka masuk ke dalam pasukan ini, ada pengaruh luar contohnya kadang-kadang bercampur dengan rakan-rakan yang mungkin kita tak tahu latar belakangnya dan mudah terpengaruh,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 195/2022 di sini hari ini.

Mengakui sememangnya ada laporan kegiatan salah salah laku dalam kalangan warganya, namun beliau berkata bilangannya tidak membimbangkan iaitu hanya membabitkan kurang 1 peratus sekali gus tidak menjejaskan kesiapsiagaan organisasi tentera darat.

“Nampak kecil tapi implikasinya sangat besar...bagaimanapun kes ini terkawal, tapi kita tak mahu ia merebak, setakat ini ia tidak menjejaskan organisasi kalau sekiranya diperlukan untuk digerakkan bagi tugas-tugas operasi Insya-Allah kita boleh (bagi kerjasama) ,” katanya.

Zamrose berkata pihaknya juga tidak akan berkompromi dengan sebarang kelakuan disiplin serta salah laku anggota dan akan mengambil tindakan sewajarnya termasuk berdepan tindakan buang kerja sekiranya terlibat dengan kegiatan tersebut.

Justeru beliau berkata anggota perlu menghindarkan diri daripada terlibat dengan kes salah laku termasuk penyalahgunaan dadah, mencuri, rasuah dan judi dalam talian yang akhirnya akan menjejaskan kerjaya dan masa depan.

“Kalau setakat tak hadir perbarisan tu kita bagi hukuman biasa, tapi kalau kes dadah, buli, rompak dan rasuah, tak ada tolak ansur memang ada tindakan serta-merta, kaunseling dahulu mereka kalau sampai tahap tak boleh kaunseling baru kita berhentikan,” katanya.

Zamrose dalam ucapannya turut menasihatkan perajurit muda untuk merancang perbelanjaan secara bijak kerana kegagalan berbuat demikian menyebabkan kesempitan hidup sehingga akhirnya mendorong kepada aktiviti yang tidak bermoral.

Terdahulu, seramai 2, 417 Perajurit Muda Lelaki berjaya menamatkan latihan asas ketenteraan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) bermula 10 Jun lepas hingga hari ini termasuk meliputi aspek pembinaan karakter, pengetahuan am ketenteraan dan pengendalian senjata.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image