KUALA LUMPUR: Skuad pelayaran Terengganu berada dalam kelas tersendiri apabila menyapu tujuh daripada keseluruhan 14 pingat emas yang ditawarkan pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 di Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan di Langkawi, hari ini.

Terengganu turut mengumpul tiga perak dan satu gangsa pada hari tunggal sukan pelayaran dipertandingkan untuk membantu kontinjen mencabar kedudukan terbaik dalam carta pungutan pingat.

Dalam kategori lelaki, emas Terengganu disumbangkan gandingan Alif Safares Azmi-Muhammad Nazmi Qusyairi Mohd Nazri dalam acara International 420s, Muhammad Izzuddin Abdul Rani (RS:One) dan Muhammad Adam Aierell Mohd Azizol Amirul (Optimist individu).

Negeri dari pantai timur itu kemudian meluaskan penguasaan dalam tiga kategori wanita menerusi pasangan Nor Aisyah Wahab-Wan Sarah Emalin Wan Iman dalam acara International 420s, Tengku Nurani Ezaty Tengku Khairudeen (RS:One) dan Nur Alya Husna Mohd Tariki (Techno 293).

Emas terakhir dituai Terengganu dalam kategori Optimist berpasukan campuran menyaksikan mereka mengatasi cabaran Sabah yang meraih perak dan gangsa menjadi milik Kedah.

Pada masa sama, Sabah juga melakar pencapaian memuaskan apabila mengutip dua emas masing-masing menerusi Muhammad Asnawi Iqbal Adam dalam acara ICLA 4 lelaki dan atlet wanita Nascar Chong (Optimist individu).

Sementara itu, baki tiga emas kategori lelaki masing-masing menjadi milik atlet Pulau Pinang Israr Hazim Ismail yang mengungguli ICLA 7, Asmawi Azman dari Perak (ICLA 6) dan wakil Kedah Muhammad Hafizi Mansor (Techno 293).

Dalam pada itu, emas ICLA 4 wanita disambar Nursyafikah Awanis Ahmad Zamri dari Selangor manakala Nur Alia Amera Mohamad Latif dari Pahang menjuarai ICLA 6.

Sukan pelayaran yang menawarkan keseluruhan 14 emas berlangsung selama sehari.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image