SHAH ALAM: Seorang bekas ketua balai polis berpangkat Sarjan dipenjara dua bulan dan denda RM5,000 selepas didapati bersalah menerima rasuah RM300.

Hakim Rozilah Salleh menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohamed Azli Adam, 58, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mahkamah turut memerintahkan Mohamed Azli yang kini digantung tugas menjalani hukuman itu bermula hari ini dan akan dipenjara enam bulan lagi sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam Wan Shahrizal Wan Ladin yang mewakili tertuduh untuk menangguhkan hukuman penjara itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dan jaminan ke atasnya dinaikkan kepada RM5,000 daripada RM3,500 sebelum ini.

Mengikut pertuduhan, Mohamed Azli didakwa sebagai Ketua Balai Polis Komuniti Bandar Teknologi, Semenyih menerima wang tunai RM300 daripada seorang individu berusia 43 tahun di balai tersebut pada 14 Mac 2016 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-keduanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Aliff Shaharuzaman.

Seramai 18 saksi pendakwaan dan satu saksi pembelaan iaitu tertuduh sendiri memberi keterangan pada perbicaraan kes yang bermula pada 2020.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image