Tiada perbincangan dengan PN, DAP fokus perkuat parti sendiri

GEORGE TOWN: DAP tidak pernah mengadakan perbincangan dengan mana-mana parti di luar Pakatan Harapan (PH) dan fokusnya ketika ini adalah untuk memperkukuhkan parti sendiri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Setiausaha Agungnya Anthony Loke(gambar).

Beliau berkata perkara seperti kemungkinan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) di bawah ‘khemah besar’ untuk memastikan satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN) pada PRU15 tidak pernah berbangkit.

“Tidak ada perbincangan dengan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) (dan PN), kerana yang penting adalah untuk kita memperkukuhkan parti kita (DAP dan PH).

“Berkenaan agihan kerusi juga belum tiba masanya untuk kita bincang dengan mana-mana pihak di luar komponen PH,“ katanya dalam sidang akhbar bersama Naib Pengerusi DAP Chow Kon Yeow di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan dengan Chow, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, serta Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Steven Sim.

Mengulas lanjut Loke berkata, tumpuan DAP dan PH juga adalah mempertahankan apa sahaja kekuatan yang dimiliki mereka ketika termasuk kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenangi mereka pada pilihan raya umum (PRU) lepas serta pentadbiran tiga buah negeri di bawah PH iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

“Kekuatan itu pula bukan hanya pada DAP sahaja, kita juga bergantung kepada rakan-rakan komponen PH untuk mencapai majoriti yang selesa di Dun.

“Tetapi di pihak DAP, kita akan berusaha untuk mencapai kemenangan dan mengekalkan semua kerusi yang kita tandingi,“ katanya.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image