PASIR MAS: Tiada pegawai dan anggota polis Kelantan yang terkait dengan pertubuhan haram dikenali Ayahanda Harimau Kumbang (AHK) sebagaimana dikesan oleh polis Terengganu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata Jabatan Siasatan Jenayah dan Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan telah membuat risikan sama ada wujud kaitan pegawai dan anggota polis di negeri ini dengan pertubuhan haram tersebut.

“Pihak kita di sini sentiasa berhubung dengan polis Terengganu dan setakat ini tiada apa-apa perkara yang boleh dikaitkan.

“Namun, sekiranya wujud perlakuan seperti itu maka tindakan tegas akan diambil ke atas pihak yang terlibat seperti mana yang dilakukan oleh polis Terengganu,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, di sini hari ini.

Muhamad Zaki berkata demikian sebagai mengulas mengenai 14 anggota dan pegawai kanan di dua IPD dan IPK Terengganu yang ditahan dalam Op Selendang selepas disyaki terlibat menganggotai AHK.

Terdahulu Muhamad Zaki menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Mohd Nasaruddin M Nasir kepada pemangkunya Supt Nik Aminuddin Raja Abdullah.

Mohd Nasaruddin akan bertugas sebagai Pegawai Pengiring kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image