BATU PAHAT: Kira-kira 22 rumah di sekitar Kampung Seri Bangkal, Parit Yaani dekat sini terjejas akibat banjir, dengan paras air naik secara mendadak dalam masa tidak sampai sejam susulan hujan lebat awal pagi tadi.

Seorang penduduk Manisah Sariman, 66, berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 4 pagi semasa beliau bersama dua anak serta seorang cucunya sedang tidur, apabila mereka dikejutkan oleh hujan lebat, dan air mula memasuki kediaman mereka.

“Paras air naik dengan cepat, sekejap sahaja sudah naik sehingga paras lutut di dalam rumah. Kami sekeluarga hanya mampu berdoa agar tidak ditimpa kejadian yang tidak diingini. Tiga jam kemudian, kami diarahkan pindah oleh anggota keselamatan yang bertugas,” katanya.

Beliau yang ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Agama (SA) Seri Bengkal, dekat sini, yang dibuka pukul 8 pagi tadi berkata, dia hanya sempat menyelamatkan beberapa barangan serta dokumen penting sebelum keluar dari rumah.

Katanya semasa dia bersama ahli keluarganya dipindahkan ke PPS berkenaan yang menempatkan 69 mangsa daripada 22 keluarga, hujan masih lebat, dan ia mulai reda hanya pada kira-kira pukul 10 pagi.

“Sebelum ini kawasan sini pernah alami banjir, namun paras air hanya di paras buku lali sahaja, itupun di kawasan halaman rumah sahaja dan tidak pernah memasuki ke dalam rumah memandangkan rumah kami berada di kawasan yang agak tinggi,” katanya.

Di JOHOR BAHRU pula, seorang pelajar kolej swasta Muhammad Suzaihan Kassim, 25, berkata dia dan 14 lagi rakan yang tinggal di sebuah rumah banglo dua tingkat yang disediakan pihak kolej di Kampung Mohd Amin di sini, tidak menyangka air akan masuk hingga ke dalam rumah.

Pelajar Netherlands Maritime University College (NMUC) di sini berkata kira-kira pukul 8.30 pagi, beliau bersama penghuni rumah itu mula bekerja keras, mengalihkan barang-barang elektrik seperti peti ais ke tingkat atas rumah.

“Kami risau kerana barang dalam rumah ini kebanyakannya kepunyaan pihak kolej, tetapi mereka (pihak kolej) sudah dapat maklumat dan akan hantar bantuan untuk proses pembersihan serta baiki apa-apa barang keperluan yang rosak,“ katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya itu hari ini.

Menurut Muhammad Suzaihan yang juga ketua kediaman berkenaan, rumah itu menempatkan 43 pelajar, tetapi ketika kejadian hanya terdapat 15 orang memandangkan ramai yang pulang ke kampung kerana cuti semester.

“Banjir kilat ini adalah kali ketiga terjadi di rumah ini. Tahun lepas juga dah jadi dua kali namun kali ini yang paling teruk sekali,“ kata Muhammad Suzaihan yang berasal dari Sabah.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image