KOTA BHARU: Jajahan Tanah Merah, Jeli dan Gua Musang di negeri ini dikenal pasti berpotensi mempunyai unsur nadir bumi berjumlah 2.56 juta tan dengan nilai RM125 bilion sekali gus bakal memberi manfaat kepada rakyat di negeri itu.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan (gambar) berkata mengikut kajian awal, nadir bumi bukan radioaktif itu paling banyak ditemukan di Aring, Gua Musang dengan keluasan 100,000 hektar manakala di Stong, Batu Melintang di Jeli dan Tanah Merah masing-masing seluas 80,000 dan 25,000 hektar.

“Setakat ini, prosedur operasi standard untuk mencari sumber nadir bumi sudah siap dan proses seterusnya akan dilaksanakan selepas perbincangan bersama kerajaan negeri selain melakukan beberapa persediaan termasuk tender dan mengeluarkan permit sebelum pengeluaran bahan mineral itu.

“KeTSA (Kementerian Tenaga dan Sumber Asli) melalui Jabatan Mineral dan Geosains akan memberi khidmat nasihat bagi membolehkan kelancaran prosedur seterusnya,“ katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sijil Pengiktirafan Stong Geopark Kebangsaan kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata Stong Geopark menerima pengiktirafan sebagai geopark kebangsaan kelapan di Malaysia kerana mempunyai 25 geotapak dengan empat daripadanya mempunyai nilai kepentingan bertaraf antarabangsa.

“Kerajaan sasarkan setiap negeri mempunyai satu geopark yang diktiraf di peringkat kebangsaan.

“Geopark adalah satu konsep atau kaedah pembangunan sesebuah wilayah dan membangunkan ekonomi masyarakat melalui pelbagai produk dan perkhidmatan geopelancongan,“ katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata pengiktirafan itu mampu meningkatkan pertumbuhan sektor ekonomi pelancongan Kelantan dan memastikan Stong Geopark dapat dibangunkan secara mampan dan holistik khusus kepada masyarakat setempat.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image